DARJAT PARA WALI ALLAH
QUTUB
Panggilan kepada seseorang yang hatinya sentiasa musyahadah dengan Allah SWT pada setiap waktu dan saat. Sentiasa dalam pemerhatian Allah SWT setiap saat dan zaman. Dianugerahi Ilmu Ladunni. Dapat meresap ke seluruh penjuru alam seperti ruh dapat menyelusupi seluruh tubuh. Ada kala secara zahir dan ada kalanya secara batin. Merupakan ketua wali seperti Uwais Al-Qarni. Qutub ini bukan seorang malahan banyak, mengikut banyaknya jenis wali dan mengikut penggantian zaman.
QUTUBUL AQTAB
Juga disebut 'Ghaus'. Ketua dari segala ketua. Ada juga menggelarnya Shahibus zaman atau Sultanul Aulia. Seorang saja untuk sezaman dan Ghaus yang terakhir adalah Imam Mahdi.
AUTAD
Ertinya paku. Disebut juga 'Paku Alam'. Satu panggilan untuk empat wali yang berada di empat penjuru alam: Timur, Barat, Utara dan Selatan. Salah satu dari mereka adalah Qutub.
ABDAL
Ertinya pengganti. Sebanyak empat puluh orang, tujuh darinya adalah yang terpilih. Salah seorang dari mereka adalah Qutub. Jika mati salah seorang mereka tidaklah diketahui masyarakat umum, sebab mereka suka beribadat secara bersendirian, suka berjaga malam serta kurang tidur, suka berpuasa dan banyak berlapar.
NUJABA
Ertinya terpuji atau yang mulia. Perangai serta akhlaknya sudah dijamin dan diakui Allah SWT. Tugasnya menanggung beban makhluk dan bencana-bencana mereka. Merekalah orang yang pertama berdoa dan memohon kepada Allah SWT supaya bencana dan bala diangkat serta dihindarkan. Mereka bekerja, memerah tenaga dengan doa dan sebagainya untuk kepentingan orang lain. Terkenal dengan banyak sabar dan redha. Bilangannya sezaman seramai 300 orang.
NUQABA
Ertinya ketua kecil. Sudah meningkat dari nafsu ammarah disebabkan banyak bermujahadah. Banyak ibadah serta zuhud terhadap dunia. Mereka ini seramai empat puluh orang. Terkenal dengan sangat tawakkal kepada Allah SWT dalam segala urusan. Di antara mereka itu ada seorang Qutub.
AIMMAH/IMAAMAN
Dua imam atau dua ikutan. Sebagai setiausaha kepada Qutub seorang di kanan dan seorang di kiri. Yang di pihak kanan sentiasa melihat ke alam Ghaib, dia yang menggantikan Qutub dalam urusan yang bersangkutan sana. Di sebelah kiri sentiasa memerhatikan urusan bersangkutan alam nyata, pengganti Qutub dalam urusan di alam sini. Kebanyakan wali-wali ini terdapat di Syria, Mesir dan Iraq. Jumlah para wali pada setiap zaman adalah sebanyak 500 orang.
Abu Na’im juga meriwayatkan: “Syeikh Al-Hujwiri ada menyebutkan bahawa ada seramai 4000 wali yang sentiasa hidup di dunia ini dan sentiasa tidak dapat diketahui oleh orang ramai, kerana mereka dilindungi dan disembunyikan oleh Allah SWT. Di samping itu, beliau juga ada menyebutkan bahawa terdapat 300 orang wali yang bergelar ‘al-akhyar’, 40 orang yang bergelar ‘al-abdal’, 7 orang yang bergelar ‘al-abrar’, 4 orang yang bergelar ‘al-autad’, 3 orang yang bergelar ‘al-nuqaba’, dan seorang yang bergelar ‘al-qutub’ dan ‘al-ghauth’. Mereka yang termasuk di dalam golongan yang tersebut itu mengenali antara satu sama lain."
Di zaman Imam Mahdi, dia dibantu oleh 7 orang wali kanan, seorang di Mesir, Seorang di Maghribi, Seorang di Syria, Seorang di Mekah, Seorang di Madinah, Seorang di Khurasan dan Seorang di Timur yang bergelar ‘Fatah at Tamimi’ dan lainnya seperti disebut sebelum ini serta dibantu oleh 19,000 lelaki dan wanita soleh yang bergelar Asoib
No comments:
Post a Comment